Buka Mata, Buka Hati. Jangan Biarkan Amalan Khurafat Dilakukan Pada Uri Bayi.

Mari sama-sama kita semak, ada tak kepercayaan ini dalam keluarga atau orang dekat sekeliling kita.

Ibu bapa mesti gembira
tatkala anak yang amat di nanti-nanti selamat dilahirkan ke atas muka bumi ini. Kelahiran anak yang diamanahkan oleh Allah SWT itu merupakan simbol kasih sayang antara pasangan.

Anak ini juga merupakan pengikat cinta
antara suami dan isteri. Ia juga adalah sebuah tanda kegembiraan hidup berkeluarga yang tidak terperi. 

Namun, di sebalik kegembiraan dan kebahagian,
ada pula amanah baru yang perlu dipikul oleh kedua-dua ibu dan bapa.

Tanggungjawab tersebut adalah menguruskan uri bayi.

Masalahnya sekarang,
Terdapat di kalangan kita yang masih mencuci atau membasuh uri dan tanam dengan cara yang tidak sesuai dengan Islam terutama bagi masyarakat Melayu. 

Uri bayi

Antara amalan yang masih lagi dilakukan dari dulu ketika menguruskan uri bayi adalah dengan cara menanamnya bersama benda asing yang tidak masuk akal.

Benda asing yang selalu digunakan untuk ditanam bersama uri adalah :

  • Pensil dan buku, dengan harapan bayi tersebut akan cepat pandai kelak.
  • Paku dan benda-benda tajam kerana dikatakan kononnya dapat mengelakkan uri tersebut dari didekati oleh ‘benda-benda halus’.
  • Kepingan duit syiling dengan harapan supaya hidup bayi itu anti akan menjadi senang dan kaya raya.
  • Kain serban untuk uri bayi lelaki dan kain telekung untuk uri bayi perempuan dengan harapan besar nanti boleh menjadi seorang yang alim.
Anggapan anak menjadi cemerlang dalam pelajaran

Itu belum lagi bercerita tentang lokasi dan keadaan semasa sedang ingin menanam uri tersebut.

Lokasi tanam uri bayi juga memainkan peranan yang penting.

Memang penting dalam memilih tempat untuk tanam uri,
yang lebih pentinag adalah cukup sekadar kawasan itu dalam keadaan baik, bersih dan selamat.

Contoh lokasi yang sesuai adalah di perkarangan masjid, surau dan tempat lain yang elok tetapi lain pula dengan pendapat segelintir daripada masyarakat kita ini.

Bagi mereka antara perkara yang perlu di ambil perhatian adalah seperti :

  • Perlu tanam uri tersebut dekat dengan pokok kelapa supaya nanti anak itu akan membesar dengan tinggi dan kuat bagaikan juara sama seperti pokok kelapa tersebut
  • Menyalakan unggun api ataupun lilin berhampiran dengan tempat ditanam uri itu selama 7 malam berturut-turut kerana bimbangkan ‘kembar bayi’ itu kesejukan pada waktu malam.
  • Semasa tanam uri tidak boleh berbuat bising kononnya nanti uri yang pernah menjadi kembar kepada si bayi semasa di dalam kandungan dulu itu akan ikut balik hingga ke rumah.
  • Perlu tanam pada waktu pagi ataupun petang kerana jika di tanam pada waktu tengahari maka bayi yang berada di rumah itu akan berasa sangat panas.
  • Uri anak perempuan perlu ditanam depan rumah supaya cepat bernikah.
  • Uri anak lelaki kena tanam di bawah rumah supaya nanti besar selalu balik jenguk mak ayah.
Anggapan anak cepat besar dan tinggi macam pokok kelapa

Itulah serba sedikit contoh yang masih lagi dipraktikkan oleh sesetengah orang di dalam masyarakat kita terutama di dalam kaum Melayu.

Sepatutnya sebagai umat Islam,
kita perlu bijak membezakan antara adab menanam uri dengan betul berlandaskan Islam semata-mata tanpa perlu mengikut kepercayaan orang dulu-dulu yang sememangnya boleh membawa kepada penyimpangan akidah. 

Apa yang diperlukan ketika membasuh uri?

Cara sebenar untuk mambasuh uri ini mudah sahaja. Apa yang perlu dilakukan hanyalah dengan mencucinya sehingga bersih dengan air sebelum dibungkus ketat menggunakan kain putih kemudian di tanam di tempat yang jauh dari binatang seperti dalam perkarangan masjid, surau mahupun di dalam perkarangan rumah sendiri.

Persediaan bahan untuk basuh uri

Ketika basuh itu pula memadai dengan menggunakan asam jawa, garam, daun bidara dan limau nipis bertujuan untuk menghilangkan bau darah dan bersih untuk ditanam.

Proses ini hanya untuk membersih dan menghilangkan bau pada uri tersebut bukannya dengan niat yang lain.

Elakkan menambah benda asing yang mengarut dengan harapan anak kita akan jadi “power” atau masa depan dia ditentukan oleh uri tadi.

Kepercayaan sebenar dalam pengurusan uri.

Sebagai umat Islam kita patut yakin dan sedar yang segalanya telahpun ditentukan oleh Allah SWT. Hanya pada Allah SWT yang patut kita percaya dan yakin.

Jika mahukan sesuatu hajat maka bermohonlah pada Nya , bukannya dengan cara menaruh harapan dan kepercayaan ke atas uri tidak bernyawa yang sama sekali tidak dapat memberikan apa-apa setelah bayi selamat dilahirkan. 

Kesimpulannya, jelas lagi bersuluh yang hakikat setiap uri itu perlu ditanam bagi memuliakan ciptaan Allah. Maka sebaiknya kita sempurnakan dengan penuh rasa kesyukuran.

INGATLAH ! Amalan menanam uri bayi dengan lada hitam, paku dan sebagainya itu adalah amalan khurafat. Janganlah ada di antara kita yang turut mengikutnya kerana ternyata ianya hanyalah satu perbuatan yang sia-sia sahaja.

Sekadar perkongsian dan memperingati sesama saudara Islam ,

Tim Placento
+6011 5684 4450
www.placento.com

Scroll to Top