BEZAKAN FAKTA DAN AUTA KETIKA BERPANTANG

Fakta dan auta ketika berpantang?

Perlu atau tidak berpantang untuk para ibu?

Kalau tanya pada kami, sudah semestinya kami akan jawab perlu!

Ini kerana ibu telah kehilangan banyak tenaga dan darah ketika melahirkan jadi digalakkan untuk mereka berehat dalam sesuatu tempoh masa.

Amalan tertentu yang disarankan juga dapat membantu menstabilkan kesihatan, horman dan juga emosi si ibu yang banyak terganggu.

Hikmah berpantang juga boleh mempengaruhi kelahiran akan datang seperti keadaan rahim dan badan yang sihat.

Sayangkan diri dan impikan anak yang ramai?

Jaga pantang anda dengan baik!

Lain badan, lain cara penjagaannya. Namun kami di sini ingin berkongsi beberapa auta dan fakta untuk ibu berpantang.

TIDAK BOLEH MAKAN AYAM

Ayam dianggap bisa kepada ibu berpantang kerana dianggap melambatkan proses pemulihan luka.

Pada hakikatnya ayam adalah antara makanan protein yang diperlukan untuk menyembuhkan luka mengandung itu. Ia menggalakkan proses pembentukan tisu badan, membekalkan zat besi bagi pembentukan sel darah merah serta mengelakkan masalah anemia dari dihadapi ibu berpantang.

TAK BOLEH MINUM BANYAK AIR

Kebanyakan orang tua-tua melarang perbuatan ini kerana menganggap ia boleh menyebabkan urat saraf kembang dan perut buncit serta menggelebeh.

Tetapi secara faktanya, air yang cukup membantu membuang toksin dalam badan serta membenarkan organ dalaman berfungsi baik. Ingat, kembang dan kuncup saluran darah dan urat bukanlah disebabkan makanan dan minuman.

TAK BOLEH MANDI LAMA

Kata orang, mandi lama akan menyebabkan badan ibu dimasuki angin dan menjadikannya bentan.

Secara faktanya? Bagaimana?

Sampai bila kita nak percaya ‘kata orang’ membuta tuli tanpa selidik dahulu? Faktanya adalah larangan ini membantu ibu untuk menjaga kawasan luka dan bahagian perut dengan baik. Luka perlu sentiasa kering dan tidak terlalu basah untuk cepat sembuh.

Sudah jelas dengan beberapa fakta dan auta ketika berpantang? Jadi ringkasnya, tidak menjadi masalah jika anda ingin mempercayai petua orang dulu-dulu, asalkan anda sudah mengambil tahu kesan di sebaliknya. Janganlah sampai terlalu percaya, sudahnya beri keburukan pada kesihatan dan badan anda sendiri.

Kalau sebelum ni mungkin anda tidak berapa kisah tentang kesihatan diri namun kini, anda mempunyai amanah bukan saja pada diri sendiri tetapi juga kepada anak. Jadi, ambil langkah dan keputusan yang paling terbaik untuk sesuatu perkara. Okay?

Anda juga mungkin meminati: Senarai makanan berpantang

Ikuti Facebook kami untuk maklumat lanjut: Placento

Scroll to Top