Kaedah Yang Lengkap Bagaimana Untuk Menanam Uri Mengikut Kaedah Islam

By Ustaz Basri | December 14, 2018

Jika sebelum ini saya kongsikan 12 Langkah Panduan Lengkap Untuk Membasuh Uri Bagi Rujukan Para Ayah Mengikut Kaedah Islam, kali ini saya kongsikan pula, info berserta panduan yang lengkap bagaimana untuk melakukan proses tanam uri bayi yang betul dan mudah mengikut kaedah Islam. Semoga dengan perkongsian ini sedikit sebanyak akan dapat membantu anda semua di luar sana supaya dapat menguruskan uri tersebut dengan baik dan sepatutnya.

Sama seperti yang pernah saya beritahu di dalam artikel mengenai panduan mencuci uri sebelum ini,proses menanam uri ini juga tidaklah susah sebagaimana yang di sangka.

Ikut saja panduan dan tips yang saya kongsikan di sini, saya yakin anda pasti dapat melakukan proses menanam uri tersebut hingga selesai dengan jayanya.

uri dalam lubang untuk ditanam

Untuk proses menanam uri ini saya bahagikan kepada beberapa bahagian supaya dapat anda faham dengan lebih jelas dan mudah. Bahagian yang saya maksudkan ini adalah :

  1. Tips untuk memilih lokasi tempat untuk di tanam

  2. Proses mengorek tanah di lokasi yang telah di pilih

  3. Tata tertib yang saya amalkan ketika menanam uri

Bahagian 1 - Tips Untuk Memilih Lokasi

Lokasi yang paling terbaik untuk menanam uri ini di pengaruhi oleh beberapa perkara dan salah satu daripadanya adalah jenis tanah itu sendiri.

Sebaiknya pilihlah kawasan dengan keadaan tanahnya yang agak lembut dan tidak berbatu. Ini bagi memudahkan lagi urusan anda untuk mengorek tanah terbabit.

Selain faktor tanah, pastikan juga kawasan yang di pilih itu tidak menjadi tempat pertakungan air kerana jika bertakung air maka akibatnya uri boleh membusuk ketika berada di dalam tanah nanti dan dari segi kesihatan juga boleh memudaratkan alam sekitar hingga menyebabkan jangkitan sekiranya ada kanak-kanak lain bermain di sekitar kawasan itu.

Lokasi yang seeloknya, adalah di kawasan yang pada pandangan kita sendiri amat sesuai dan elok sebagai contoh di dalam kawasan pagar surau mahupun masjid.

ustaz basri founder placento sedang menggali tanah

Bahagian 2 - Proses Mengorek Tanah

Untuk proses mengorek tanah, alatan yang paling terbaik untuk memudahkan kerja mengorek berdasarkan pengalaman saya sendiri adalah cangkul bermata melengkung (cok tanah).

cangkul mata melengkung atau cok tanah

Cok tanah yang tidak terlalu besar dan agak ringan ini juga sangat mudah untuk di bawa dan kedalaman yang perlu di korek untuk proses menanam uri ini adalah sekitar 1.5 sehingga 2 kaki.

Jika tidak tahu sedalam manakah 1.5 hingga ke 2 kaki itu, lebih kurang daripada hujung jari hantu sehingga ke hujung siku.

tanah siap digali untuk tanam uri

Bahagian 3 - Tata Tertib Yang Saya Amalkan

Tata tertib juga perlu di ambil kira ketika melakukan proses menanam uri ini dan antara tata tertib yang saya amalkan sepanjang membantu menguruskan uri ini adalah seperti membaca Basmalah ketika saat memasukkan uri ke dalam lubang dengan keadaan sebaiknya menghadap kiblat bagi mengambil berkat (jika tidak menghadap kiblat juga tidak mengapa), mengambus dengan tanah, padatkan dan tidak lupa diletakkan batu bagi menghalang daripada haiwan lain mengorek tanah tersebut.

Saya juga turut lazimi hati dengan zikir dari awal hinggalah proses ini selesai. Alhamdulillah.

letak batu untuk halang dikorek haiwan

Bilakah masa yang sesuai untuk menanam uri?

Seeloknya tanamlah uri pada waktu siang di antara lepas waktu subuh sehingga sebelum maghrib kerana takut jika di tanam pada waktu malam boleh menimbulkan fitnah.

Siapakah yang patut melakukan penanaman uri tersebut?

Sesiapa saja boleh melakukannya walau sama sekali tiada sebarang pertalian darah sekalipun, yang penting insan yang membantu menguruskan uri tersebut haruslah seseorang yang beragama Islam.

ustaz basri pengasas placento sedang menanam uri

Semoga dengan perkongsian ini, saya dapat membantu anda untuk memahami dengan lebih jelas lagi bagaimana untuk melakukan proses penanaman uri ini dengan sebaiknya.

Saya pasti dengan adanya tunjuk cara dengan lengkap sebegini anda akan dapat menguruskan uri dari awal hingga akhir dengan mudah dan jika ada sebarang pertanyaan lanjut mengenai panduan menguruskan uri ini, anda boleh terus hubungi saya di PLACENTO.

Tahniah di atas kelahiran bayi anda dan terima kasih kerana sudi membaca artikel ini dari awal hingga akhir.

Ikhlas,

Ustaz Basri Ahmad
+6011 5684 4450
Founder #placento
www.placento.com