Tentang Kami

By Ustaz Basri | January 18, 2019

Alhamdulillah, semakin hari semakin ramai yang mula mengenali PLACENTO. Nampaknya tujuan utama saya untuk membantu para ibu bapa di luar sana dalam menguruskan uri bayi sudah semakin terlaksana. Syukur ke hadrat Ilahi kerana telah mempermudahkan segalanya.

Semua ini juga adalah berkat jasa bonda tercinta yang saban masa memberi nasihat dan semangat untuk saya terus berjuang di dalam bidang ini.

Bagi yang belum mengenali siapa saya, nama saya adalah Mohd Basri Bin Hj Ahmad, seorang hamba Allah yang telah mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar , Kaherah Mesir dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

placento bermula dengan nasihat bonda ustaz basri

Detik pertama saya dapat menceburkan diri di dalam bidang ini adalah disebabkan bonda saya sendiri yang juga merupakan salah seorang bidan kampung. Pengalaman mengikut ibu sejak kecil pergi mengurut dan menyambut bayi tidak kira siang mahupun malam sejak sekolah rendah pada tahun 90’an dulu membuatkan saya sudah terbiasa dengan uri bayi ini.

Apa tidaknya, kadangkala pada ketika itu saya sendiri yang tolong ibu membasuh uri tersebut. Hingga ke hari ini khidmat ibu masih lagi diperlukan untuk membasuh uri. Tangan ibu sendiri juga yang menguruskan uri anak dan cucunya.

Pada tahun 2016, setelah selesai menamatkan pengajian. Saya sempat mengajar sebentat di sebuah masjid di bawah program Guru Takmir yang dikendalikan oleh pihak Jakim selama setahun. Ketika dalam waktu itu saya sering juga mendengar keluhan rakan-rakan yang tinggal di bandar tentang susahnya mereka untuk menguruskan uri bayi.

Ini disebabkan oleh kekangan masa dan juga lokasi tempat yang semakin hari semakin membangun dengan bangunan-bangunan tinggi. Di mana mahu di tanam uri ini?

ustaz basri sedang menanam uri

Itulah kesusahan mereka yang paling tinggi setelah berjaya bergelar seorang ayah.Selain dari kekangan masa dan tempat rasa tidak yakin untuk menguruskan sendiri uri bayi itu turut menjadi satu punca kerisauan.

Kerana itu, terdetik di hati saya. Kenapa tidak saya saja yang tolong mereka? Saya ada pengalaman dan saya juga ada masa lebih untuk berbakti dalam bidang ini, maka mengapa tidak saya saja yang bantu menjadi penyelesai masalah tersebut? Sejak hari itu saya rasa terdorong untuk segera bertindak.

ustaz basri pada hari pembentangan idea di khazanah neo

Untuk memulakan misi membantu para ayah untuk menguruskan uri ini, saya mulakan aktiviti validasi permasalahan berkaitan pengurusan uri ini di Lembah Klang.

Dalam perjalanan ini, idea dan inovasi Placento ternyata telah mendapat bantuan dan sokongan daripada Khazanah di bawah program Kneo dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Betapa gembiranya hati saya saat itu dan hingga kini telah hampir 100 uri bayi telah berjaya saya uruskan.

placento mendapat sokongan yayasan inovasi malaysia dan kahazanah dalam program kneo

Jika di tanya apakah sebenarnya objektif saya untuk Placento? Jawapan saya tidak lain dan tidak bukan adalah supaya dapat memastikan semua ayah dapat menguruskan uri bayi untuk cahayamata tersayang dengan baik.

Tidak kisah dengan cara macamana, asalkan uri dapat di tanam dan bukannya hanya dibiarkan di hospital yang akan hanya menunggu masa untuk di bakar.

Yang pasti, saya sangat bersyukur di atas segalanya. Saya juga sentiasa berdoa agar Placento yang saya wujudkan ini akan terus dapat memberi bantuan dalam menguruskan uri ini pada bila-bila masa yang diperlukan.

Dikesempatan ini juga, saya turut ingin mengucapkan jutaan terima kasih pada semua yang terlibat samada dengan cara sengaja mahupun tidak sengaja dan jasa baik anda semua hanya Allah SWT saja yang dapat membalasnya.

Ustaz Basri Ahmad
+6011 5684 4450
Founder #placento
www.placento.com