Nak tahu kesahihan amalan, kena ambil tahu mengapa pantang larang uri itu dicipta.
Pernah dengar tak amalan-amalan karut waktu proses mengandung, melahirkan dan juga dalam pantang?
Kadang-kadang tu sampai geleng kepala kita mendengarnya sebab langsung tak masuk akal!
Bukan setakat mitos kepada si ibu dan bayi sahaja yang ada, tetapi mitos berkenaan uri yang dikeluarkan setelah lahirnya bayi juga sering digembar-gemburkan.
Sesetengah pihak menganggap uri ini adalah sesuatu yang sensitif yang mungkin membawa kemudaratan kepada si kecil. Ini termasuklah dari segi fizikal, mental dan emosi bayi.
Jadi, beberapa mitos telah dicipta dan diamalkan dalam kehidupan dulu dan sering dijadikan amalan seperti pantang larang uri. Walaupun kini, ia dikatakan sudah tidak relevan lagi kerana faktor perubahan zaman dan masa namun, ada juga yang masih mengamalkannya.
Tahukah anda ia boleh dianggap khurafat sekiranya anda mempercayai mitos-mitos ini?
Ha jom kenali antara mitos ini dan cuba jauhinya.
1. TANAM URI DENGAN PENSEL
Sering dilakukan kerana dianggap si kecil akan menjadi seorang yang pandai dan rajin belajar kelak. Namun, jika difikirkan semula, memang tiada hubungan antara kedua-duanya.
Doktor juga menyatakan yang ianya salah kerana ianya berada pada anggota tubuh yang berbeza dan jelas sekali telah berpisah dari badan. Bagaimana pensel pada uri yang ditanam dapat mempengaruhi otak si kecil yang sedang membesar? Fikirkan.
2. TANAM URI DENGAN PAKU
Perbuatan ini dikatakan dapat membantu menghalang bayi daripada terkena gangguan makhluk halus. Pelik. Boleh jadi ia dianggap seperti tangkal kepada si bayi.
Jika perkara ini dijalankan bersama berapa bacaan mantera yang lain, sudah terang lagi bersuluh ianya bukan hanya setakat mitos, tetapi juga syirik kepada umat Islam. Anda sepatutnya berusaha dan percaya hanya kepada Allah. Bukan paku, dan bukan juga tangkal. Fahami semula mengapa pantang larang uri dicipta.
3. TANAM TEPI JALAN
Penanaman uri di tepi jalan atau atas batas dianggap dapat membantu jodoh si bayi perempuan kelak.
Mereka menanam dengan harapan supaya anak perempuan itu senang untuk dilamar orang pada usia yang sesuai kelak. Orang-orang dulu sangat risau jika anak perempuannya menjadi anak dara tua dan tiada jodoh.
Jadi, inilah kepercayaan yang sering dibawa.
4. TANAM BAWAH RUMAH
Jika kepercayaan tadi tertumpu kepada bayi perempuan, amalan ini pula khas dituju untuk bayi lelaki. Ia dikatakan dapat membantu si ibu untuk mengawal anak lelakinya daripada merayap atau lepak terlalu lama di luar rumah sehingga mengabaikan tanggungjawab.
Kami sendiri pening memikirkan apakah logik di sebaliknya. Bagaimana tempat penanaman dapat mempengaruhi perilaku si bayi?
Bagi kami sendiri, sebenarnya tempat penanaman ini tidak menjadi masalah. Tanam sahaja di mana anda rasa baik dan selamat dari perhatian haiwan liar. Yang perlu diberi perhatian adalah pantang larang uri dan juga cara pengurusannya yang baik. Jadi buat bapa, perbanyakkan lagi ilmu anda dalam kehidupan berkeluarga, jangan letakkan sepenuh bebanan kepada si ibu sahaja.
Jangan di ikut ye semua mitos ini.
Anda juga mungkin meminati: Kenapa Uri Bayi Perlu Ditanam?
Ikuti facebook kami untuk maklumat lanjut: Placento