“Sebelum ni tak pernah tahu pun boleh ada masalah pada uri. Yang risaunya, kesan dia boleh bahayakan kandungan dan si ibu tu sendiri!”
Kalau anda nak tahu, selepas anak dilahirkan, doktor akan meneruskan kepada proses pengeluaran uri. Ha waktu ini anda boleh memilih proses yang boleh dilakukan oleh doktor untuk mengeluarkan uri tersebut.
Masalah pada uri boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius dan boleh membahayakan si ibu dan juga bayi yang dikandungkan. Antara masalah yang boleh dihidapi adalah masalah uri terkeluar, uri tidak normal dan juga masalah kedudukan uri.
Jom kita lihat masalah-masalah ini dengan lebih teliti.
URI TERKELUAR (ABRUPTIO PLACENTA)
Namanya saja sudah cukup mengerikan, apatah lagi mengalaminya. Kesakitan pada perut si ibu saat kehamilan berserta pendarahan yang teruk berkemungkinan disebabkan oleh masalah uri yang terkeluar dari dinding rahim.
Jika anda mengalaminya pada awal kandungan, anda perlu sediakan masa untuk berehat dan keluar dari apa-apa jenis tekanan. Namun jika ia menghampiri suatu tarikh yang hampir dengan kelahiran, pembedahan mungkin satu-satunya pilihan yang ada.
Masalah ini berlaku apabila plasenta terpisah lebih awal daripada biasa. Jadi, ia akan mengganggu proses pembesaran si bayi yang memerlukan nutrien melalui uri. Ia juga akan mengehadkan oksigen kepada si bayi kerana plasenta yang sudah terpisah ini tidak dapat untuk melekat kembali.
Walaupun masalah ini jarang berlaku, tetapi ia sangat serius dan memerlukan sepenuh perhatian dan penjagaan yang baik kerana si ibu akan mengalami pendarahan dan sakit yang teruk.
URI TIDAK NORMAL (PLACENTA INSUFFICIENCY)
Masalah ini boleh terjadi apabila plasenta rosak dan tidak membesar dengan baik. Hal ini mungkin disebabkan oleh kekurangan darah si ibu.
Jadi, ia akan mengganggu perkembangan bayi kerana uri yang membekalkan oksigen dan makanan kepada bayi tidak berfungsi dengan baik. Masalah ini akan menyebabkan berlakunya kelahira pra-matang dan kecacatan si bayi.
MASALAH KEDUDUKAN URI (PLACENTA PRAEVIA)
Ada dua keadaan yang memberi maksud kepada placenta praevia iaitu uri berada di bawah dan juga uri terbalik. Kalau anda nak tahu, masalah ini selalu dihadapi ibu yang telah beberapa kali melahirkan.
Masalah kedudukan uri ini akan menghalang pintu rahim dan mengganggu proses kelahiran. Sebagai contoh, apabila uri berada di bahagian bawah, ibu akan merasakan kesakitan yang melampau kerana pergerakan janin akan menekan uri. Justeru, pendarahan yang teruk juga akan berlaku.
Secara ringkasnya, masalah-masalah ini mungkin tidak boleh dihilangkan tetapi boleh diuruskan. Jadi, penting bagi ibu bapa untuk sentiasa rujuk kepada doktor-doktor yang terlatih jika berlaku apa-apa kemalangan, kecelakaan atau perubahan rasa pada bayi. Semoga setiap usaha anda akan membantu perkembangan bayi dan mengelakkan risiko komplikasi kelahiran.
Anda juga mungkin meminati: Elakkan mitos, ambil tahu setiap pantang larang uri.
Ikuti facebook kami untuk maklumat lanjut: Placento