“Betulkah kalau nak dapat anak pandai-pandai kena tanam uri bayi bersama pensel ataupun mitos semata?”
Ramai juga sebenarnya yang bertanyakan soalan seperti itu.
Jika diteliti dan dikaji, kepercayaan seperti anak boleh jadi pandai, anak akan jadi soleh, tanpa ada ulasan dan fatwa yang jelas, ia boleh dijatuhkan hukum syirik ataupun khurafat. Hal ini kerana, ia bercanggah dari akidah dan syariat Islam yang meletakkan kepercayaan dan pengharapan kepada objek nyata dan bukan kepada Allah.
Namun begitu, tidak menjadi masalah sekiranya ia sekadar adab yang bersesuaian dengan akidah Islam. Sebagai contoh, adab menanam uri di tempat baik akan melindungi uri daripada dimakan haiwan liar.
Antara mitos yang patut anda elakkan adalah:-
- Tanam uri dengan duit syiling supaya anak senang dan kaya raya.
- Tanam uri bayi dengan telekung atau kain serban supaya anak boleh menjadi soleh dan solehah.
- Membuat unggun api selama 7 malam berturut-turut untuk menghangatkan ‘kembar bayi’ yang kesejukan.
- Jangan bising sewaktu uri ditanam untuk elakkan ‘kembar bayi’ ikut pulang ke rumah.
- Jangan tanam uri waktu tengah hari untuk elakkan bayi panas.
- Tanam uri berdekatan pokok kelapa supaya anak membesar dengan tinggi.
Itulah serba sedikit amalan yang dipraktikkan sesetengah orang yang dianggap berguna tetapi sebenarnya karut dan khurafat.
Pesanan dari kami adalah jauhi mitos dan amalan-amalan ini dan tetapkan pengharapan anda hanya kepada Allah dan banyakkan berdoa. Perangai anak-anak tidak ada hubung kait dengan dimana atau bagaimana uri diuruskan. Semuanya bergantung kepada bagaimana si anak dibesarkan dan dididik dari kecil.
Ibu bapa harus memainkan peranan kerana bayi ibarat kain putih yang perlu dicorakkan sebagainya. Baik didikan yang diberi, baik juga lah budi pekerti si bayi.
Kesimpulannya, memohonlah pada Allah jika inginkan sesuatu hajat, bukannya dengan cara menaruh harapan dan kepercayaan ke atas uri yang tidak bernyawa. Amalan menanam uri bayi dengan lada hitam, paku dan sebagainya itu adalah amalan khurafat. Janganlah ada di antara kita yang turut mengikutnya kerana ternyata ianya hanyalah satu perbuatan yang sia-sia sahaja.
Ikuti Facebook kami untuk maklumat lanjut: Placento
Anda juga mungkin meminati: Kaedah bersalin yang patut anda tahu