IBU BAPA PERLU TAHU INILAH CARA JANIN BERNAFAS

Pernah terfikir tak macam mana bayi bernafas?

Kalau manusia biasa bernafas menggunakan udara, macam mana pula dengan bayi yang dipenuhi air ketuban itu?

Adakah paru-parunya sudah mula berfungsi?

Macam mana udara masuk dalam rahim?

Kami percaya ada di kalangan anda yang terfikir-fikirkan perkara ini. Sebenarnya, tidak ada udara dalam kandungan si ibu. Menakjubkan! Indah betul ciptaan dan kekuasaan Allah. Walaupun tiada udara seperti keadaan di luar, namun bayi tetap boleh membesar dengan baik.

ADA UDARA DALAM PARU-PARU BAYI?

Tidak sama sekali.

Paru-paru bayi akan dipenuhi dengan air ketuban.

Tali pusat dan uri lah yang mengambil tugas paru-paru yang digunakan oleh manusia biasa. Tali pusat akan bersambung kepada bayi dan uri pula akan bersambung kepada dinding rahim.

Walau bagaimanapun, bayi sudah mula belajar bernafas saat dalam kandungan dengan menelan air ketuban. Ia membantu mengembangkan paru-paru dengan simulasi gerakan pernafasan.

Selain membantu janin bersedia untuk bernafas selepas dilahirkan, gerakan ini juga menunjukkan bahawa si bayi mendapat oksigen yang mencukupi. Air ketuban dalam paru-paru ini akan mengering dengan sendiri setelah lahir.

BAGAIMANA URI MEMBANTU PERNAFASAN BAYI?

Oksigen akan bergerak daripada aliran darah ibu melalui uri (plasenta) dan kemudiannya melalui tali pusat hingga ke janin. Inilah cara bagaimana si bayi memperoleh oksigen melalui ibu.

Manakala, ia membuang gas karbon dioksidanya melalui sepanjang laluan tali pusat yang bergerak terus ke uri (plasenta) dan seterusnya bertukar di saluran darah si ibu.

Namun begitu, paru-paru bukanlah tiada fungsi sepenuhnya ketika ini. Hal ini kerana paru-paru akan berusaha menghasilkan lapisan surfaktan yang akan membantu dalam perkembangan alveoli pada paru-paru bayi. Organ ini dinyatakan akan terus berkembang dan membesar sehingga anak mencapai umur 8 tahun.

RISIKO JIKA PERNAFASAN BAYI TERGANGGU

Aktiviti pernafasan bayi akan terganggu disebabkan oleh kekurangan oksigen yang terlahir kerana kontraksi pada rahim yang sangat kuat. Sindrom aspirasi meconium ini disebabkan oleh bayi tertelan meconium yang akhirnya memasuki kawasan paru-paru. Bayi juga akan terdedah untuk mengalami satu situasi yang dikenali sebagai fetal distress jika masih berada dalam kandungan ibu.

Semakin pekat meconium, semakin teruk masalah pernafasan yang akan dihadapi bayi. Risiko jangkitan kuman juga mungkin akan berlaku dalam darah dan infeksi paru-paru iaitu pneumonia. Jadi, jika tidak dicegah dan rawat dari awal, ia boleh memberi kesan kepada fungsi otak.

Kesimpulannya, uri mempunyai peranan besar dalam memastikan proses kehamilan berjalan lancar dan bayi dalam kandungan membesar dalam keadaan yang baik. Uri yang merupakan organ pakai buang yang suci dan besar jasanya terhadap ibu dan bayi. Jadi, pastikan pengurusannya juga dilakukan dengan baik.

Scroll to Top