KENAPA URI BAYI PERLU DITANAM? APAKAH MESEJ DISEBALIKNYA?

Kenapa uri bayi perlu ditanam? Kenapa tidak boleh tinggalkan sahaja di hospital?

Tahukah anda walaupun uri atau plasenta akan dikeluarkan saat bayi dilahirkan namun pihak hospital tidak akan bertanggungjawab dalam menguruskan uri bayi tersebut?

Sebaliknya mereka hanya akan serahkan uri kepada ibu bapa ataupun dianggap sebagai sisa perubatan yang perlu dilupuskan jika tidak dituntut.

Kontraktor perubatan yang menerima sisa ini akan membakarnya untuk dilupuskan.

Ini lah yang menjadi isu sensitif umat Islam kerana uri bayi adalah suci dan tidak boleh dibakar. Ia perlu ditanam sebagai tanda penghormatan bagi memuliakan tuannya. 

KISAH DISEBALIK URI

Apa saja yang membabitkan darah daging kita jika terpisah dari badan, perlulah diuruskan dengan betul dan seeloknya.

Kalau diikutkan, rambut dan kuku yang telah dipotong juga sebaiknya perlu ditanam, inikan pula uri yang merupakan organ dari dalam badan yang dipenuhi darah. Sudah pasti pengurusannya perlu lebih teliti dan dijaga rapi.

Tolak tepi dulu soal kepercayaan karut, kami di sini hanya ingin berkongsi beberapa kisah mengenai uri dan mesej disebalik pengurusannya yang rapi.

Pernah terjadi satu ketika dahulu yang mana masyarakat dunia mula terpengaruh dengan amalan yang diamalkan selebriti terkenal. Beliau mengambil pil uri dengan tujuan meningkatkan kesejahteraan luaran dan dalaman.

Trend makan pil uri itu dimulakan dalam kalangan ibu di Amerika Syarikat (AS) namun lama-kelamaan semakin berkembang pula di Malaysia. Ini yang membimbangkan para ulama’ kerana plasenta atau uri ini dikategorikan sebagai bahan yang haram dimakan oleh umat Islam.

Walaupun ramai yang menyatakan pil ini boleh berikan tenaga, kawal emosi dan membuatkan pengguna gembira namun, mengapa perlu memilih sesuatu yang menjijikkan kalau boleh diusahakan dengan pelbagai cara lain?

PENGGUNAAN URI DALAM PRODUK KOSMETIK?

Makan uri sendiri selepas melahirkan?

Makan pil kecantikan atau kesihatan yang diperbuat daripada uri?

Haa kami percaya masih ramai yang tak tahu sebenarnya ada segelintir masyarakat yang individu-individu ini lah yang percaya uri dapat membantu mengekalkan kecantikan dan kesihatan yang baik.

Jadi walaupun tak tergamak mengambilnya bila membayangkan sifat uri yang lembik dan berlendir namun untuk kekal awet muda, mereka sanggup menelannya.

Fuh, dengar saja pun dah cukup meloyakan, kami pasti anda juga merasakan yang sama.

Walaupun haram atas tujuan kosmetik namun, ia dibolehkan bagi tujuan perubatan dengan syarat ianya dalam keadaan yang darurat.

Namun jika ada ikhtiar lain yang boleh diambil selain uri, sebaiknya usahakan ikhtiar itu.

Bukan apa, sanggupkah anda menelan najis yang sudah dikeluarkan dari rahim sendiri?

Tepuk dada, tanyalah iman.

TUJUAN UTAMA URI DITANAM

Sudah jelas lagi bersuluh, tujuan utama uri ditanam sudah pasti disebabkan kesuciannya sebagai salah satu anggota badan manusia. Inilah jawapannya kepada setiap pertanyaan mengenai “kenapa uri bayi perlu ditanam?”.

Selain itu, penanaman uri ini menggambarkan bahawa Islam mengesyorkan sesuatu yang bersih selari daripada iman.

Bayangkan saja jika ia dibuang di tempat penglupusan sampah dengan bau hanyir? Sudah pasti ia menjadi santapan atau digonggong oleh anjing dan haiwan liar yang lain.

Menanam uri juga akan mengelakkan amalan sihir yang dilakukan oleh sesetengah pihak kerana ada juga yang memulakan niat jahat dengan darah dan anggota badan si mangsa. Jadi sebaiknya, sempurnakanlah setiap anggota dan organ tubuh badan.

Sesungguhnya pasti ada mesej di setiap perkara yang disyorkan agama Islam.

Pengurusan uri yang baik dan sempurna juga sedikit-sebanyak dapat mengurangkan penggunaan uri dalam produk kecantikan di Malaysia. Sebagai Muslim, anda sepatutnya meneliti isu halal haram sebelum menggunakan sesuatu produk meskipun ia diluluskan daripada KKM.

Anda juga mungkin meminati: Pengurusan Uri Selepas Bersalin

Ikuti facebook kami untuk maklumat lanjut: Placento

Scroll to Top